Bacalah seribu satu tips penjagaan muka macam mana pun, kalau asasnya kita tak tahu, kita akan asyik mencuba itu ini dan akhirnya akan fed up bila satu pun tak menjadi.
Kak Nita pun awal-awal dulu macam tu jugak, macam-macam jenis produk kak Nita beli, asal nampak ada reviu dekat timeline, ada duit sikit, kak Nita terus PM dan beli. Akhirnya, penuh produk dekat rumah ni yang kadang-kadang tak pernah guna langsung pun.
Nak kata muka terurus tu, tak jugak. Ye lah menang membeli je, alah memakai.
Akhirnya, penuh rak dengan produk kecantikan yang dah expired dan akhirnya ke tong sampah. Beribu-ribu kak Nita habis dengan tabiat gila membeli tu.
Sampailah satu hari, kak Nita kena tegur dengan kawan.
“Kita ni elok membeli dengan tujuan, bukan untuk membazir.”
Halus je dia tegur tapi supppp menesup kak Nita terasa.
Daripada hari tu, oleh sebab malu ditegur, kak Nita mula banyak membaca pasal hal-hal penjagaan kulit muka ni. Dekat rumah kak Nita ni ada dekat satu rak buku penuh dengan buku-buku penjagaan kulit wajah sahaja.
Artikel ini adalah kesimpulan daripada pengalaman dan ilmu yang kak Nita dapat dalam masa lebih 20 tahun membaca dan berkawan dengan pakar kulit.
Jadi apa yang kak Nita dapat simpulkan?
5 asas penjagaan kulit muka
Ada lima topik asas yang jelitawan semua perlu fahamkan dan hadam betul-betul.
Dengan memahami asas ni bukan sahaja kita akan lebih faham keperluan kecantikan kita malah asas ini jugalah yang akan menjadi guide untuk nafsu pembelian produk kecantikan supaya kita tak main hentam beli je.
Jom kita hadamkan satu-satu.
1. Pencuci Muka (Cleanser)
Pencuci muka adalah asas utama dalam penjagaan kulit muka dan kalau kita tengok rutin mana-mana jelitawan daripada seluruh pelosok dunia, kita akan jumpa yang mencuci muka adalah langkah pertama yang mereka lakukan.
Fungsinya simple, untuk mencuci segala kotoran yang ada di kulit wajah.
Kenapa kita tak boleh cuci dengan air je kak Nita?
Bukan semua kotoran boleh larut dengan air, sesetengah kotoran seperti lebihan minyak dan sisa makeup tidak boleh dibersihkan dengan air sahaja dan sebab itulah kita perlukan pencuci muka.
Dan ironinya adalah, bila kita membasuh dengan air sahaja kulit kita akan menjadi lebih kering.
Pencuci muka yang baik akan mencuci kotoran, bakteria, peluh dan sisa-sisa makeup daripada muka kita dan menghalang liang pori daripada tersumbat.
Jika anda mencuci muka dengan cara urutan yang betul, urutan tersebut akan membantu melancarkan peredaran darah ke kulit muka dan menjadikan kulit kita kelihatan glowing dan lebih sihat.
5 langkah mencuci muka yang betul
- Picit sedikit pencuci muka di jari dan suamkan dengan menggosokkannya diantara dua telapak tangan.
- Urutkan pencuci muka tadi keseluruhan muka, urut dalam bulatan kecil untuk bahagian dagu dan atas mulut dan bulatan yang lebih besar disekeliling mata. Jangan lupa sapukan sekali di bahagian leher, di belakang telinga dan decollatage(bagi mereka yang tak bertudung).
- Tambah sedikit air suam dan urutkan ke muka anda.
- Ambil tuala kering dan bersihkan lebihan pencuci muka di muka.
- Basuh dengan air sejuk untuk menyegarkan kulit muka anda.
Kak Nita ada buat artikel asing bagaimana untuk memilih pencuci muka yang sesuai dengan jenis kulit muka kita.
2. Toner
Bila kita sebut hal toner ni, ramai akan melenting dan cakap toner ni mengeringkan muka.
Selalunya yang akan claim benda ni adalah golongan yang baya kak Nita lah yang 40 tahun ke atas.
Kenapa macam tu? Sebab sejarah toner ni dulunya lebih kepada untuk merawat kulit berminyak dan berjerawat. Dan toner dahulu formulasinya mempunyai kandungan alkohol yang tinggi.
Dan masih ada toner sekarang yang mempunyai kandungan alkohol yang tinggi.
Jadinya suka untuk kak Nita ingatkan: JANGAN pakai toner yang mempunyai kandungan alkohol langsung untuk selamat.
Ok kak Nita, jadinya toner sekarang ni macam mana?
Toner sekarang lebih kepada berasaskan air dan lebih dekat fungsinya untuk melembapkan. Bergantung kepada jenis-jenis toner yang berbeza, kandungan mereka selalunya mempunyai asid, glycerin, dan anti-oksidan.
Secara saintifiknya, toner ni adalah cecair yang cepat meresap ke dalam kulit yang melembapkan dan membantu mengembalikan kulit ke PH semulajadi.
Kalau anda susah nak faham lagi, dia macam ni. Selalunya bila kita cuci muka dan exfoliate sebagainya; muka kita ni macam span yang kering.
Untuk span kering ni, kalau kita sapukan krim dekat dia mesti susah nak meresap kan? Macam mana kalau span ni dibasahkan dahulu, tentu lebih mudah dan efektif untuk krim ni meresap.
Jadi fungsi toner ni adalah pembasah awal kepada muka kita. Kalau nak ikut terminologi makeup, ni kira kita punya primer sebelum kita moisturizekan lagi dengan lebih mendalam.
3. Exfoliator
Apa itu exfoliator dan apa exfoliator ni buat kak Nita?
Exfoliator ni tugas dia adalah untuk mengelupaskan lapisan sel kulit mati yang ada di muka kita.
Kenapa kita kena kelupaskan ataupun exfoliate kulit kita?
Kulit kita mempunyai beberapa lapisan, anda boleh baca di sini untuk mengetahui lebih lanjut mengenai lapisan kulit muka.
Kita perlu faham kulit kita akan berganti secara purata setiap 28 hari. Secara semulajadi kulit ini akan mengelupas sendiri, akan tetapi oleh kerana banyak faktor yang boleh kacau proses ni, kulit muka anda boleh jadi tidak mengelupas dengan sempurna.
Oleh sebab itulah kita perlu menggunakan exfoliant supaya membolehkan kulit muka kita tadi untuk sentiasa digantikan baru dengan sempurna.
Dah faham? Sekarang kita tengok pulak jenis-jenis exfoliant ni, secara amnya ada dua jenis:
- Exfoliant berasaskan bahan kimia
Exfoliant jenis ini datang daripada jenis alpha-hydroxy acid (AHA) seperti glycolic acid ataupun beta-hydroxy acid (BHA) seperti salicylic acid.
- Exfoliant fizikal
Selalu kita nampak ada scrub ataupun produk yang ada bintik-bintik kecil kasar tu kan? Inilah selalunya yang kita panggil exfoliant fizikal.
Mana satu yang sesuai dengan kulit muka saya kak Nita?
Boleh rujuk kepada artikel kak Nita ni yang menerangkan dengan lebih lanjut mengenai cara pemilihan scrub dan exfoliator yang betul.
4. Moisturiser: Kekalkan Lembapan di Muka
Fungsi moisturiser ni mudah, untuk mengekalkan kulit kita lembap dan sihat. Istilah moisturiser ni luas sebenarnya. Oleh itu kita kena faham apa yang berlaku bila kita nak formulasikan ataupun buat moisturiser ni.
Bahan yang ada dalam moisturiser
- Air – Ya bahan utama yang ada dalam semua moisturiser adalah air, yang mana dengan sendirinya adalah moisturiser yang lemah kerana air mudah tersejat.
- Occlusive – Bahan yang mengelakkan air dalam moisturiser daripada mudah tersejat.
- Humectant – Bahan yang menyerap lembapan di udara dan memegangnya untuk melembapkan kulit. Contoh humectant adalah seperti glycerin dan alpha hydroxy acid.
- Emolien – Digunakan untuk memenuhi ruang di antara sel dan kulit. Emolien melembutkan dan melicinkan kulit.
- Bahan pengawet – Digunakan untuk mengelakkan moisturiser mudah rosak dan dijangkiti bakteria.
Bila kita tahu apa yang ada dalam moisturiser ni, kita boleh tahu yang mana moisturiser yang bagus berfungsi seperti berikut:
- Menambahkan kelembapan ke seluruh lapisan kulit.
- Mengekalkan lembapan di lapisan teratas kulit.
- Menghalang lembapan daripada mudah tersejat daripada kulit.
5. Sunscreen & SUNBLOCK: Lindungi Kulit daripada Sinaran Matahari
Perlindungan, yang ni ramai yang abaikan. Bab perlindungan ni, kalau kita tinggal dekat Malaysia yang sentiasa mendapat sinar matahari sepanjang tahun memang kita tak boleh abaikan.
Kesemua empat langkah sebelum ni jadi sia-sia sahaja kalau kita tak melindungi kulit kita daripada sinar matahari.
Sebelum kak Nita sembang lebih lanjut, elok kalau anda semua fahamkan istilah yang selalu digunakan dalam produk sunscreen dan sunblock ni.
SPF ni adalah singkatan untuk Sun Protection Factor.
Apa maksud SPF ni? SPF ni digunapakai untuk kita anggarkan jumlah sinar UV yang diperlukan untuk membakar kulit bila kita pakai produk perlindungan tu.
Kalau anda jenis yang suka teknikaliti, formula kiraan SPF ni adalah seperti berikut:
Nombor SPF X Masa kulit terbakar tanpa perlindungan = Masa kulit terbakar dengan perlindungan
Untuk fahamkan lagi, contoh kita ada sunscreen SPF 10 dan purata masa yang diambil untuk kulit kita terbakar di bawah sinaran matahari adalah 30 minit.
Kalau kita pakai sunscreen tadi,
10 X 30 minit = 300 minit
Bermakna daripada 30 minit tadi, kulit kita yang dah disapukan sunscreen beleh bertahan daripada terbakar dalam masa 5 jam. (sebab tu kak Nita selalu reapply sunscreen setiap 4 jam bila di luar)
Orait dah hadam?
Jom kita tengok kepada label UVA dan UVB pulak, apa beza diantara dua label ni?
UVA = A dalam UVA ni merujuk kepada “Aging” ataupun penuaan.
UVB = B dalam UVB ni pula merujuk kepada “Burning” ataupun faktor pembakaran.
Sinar matahari mempunyai kedua-dua UVA dan UVB ni.