Seawal Umur Berapa Saya Boleh Mula Pakai Skincare?

Ramai adik-adik dan juga ibu bapa yang bertanya dekat kak Nita bila masa saya boleh mula pakai skincare ya? Jadi, kak Nita terpanggil untuk membuat sedikit kajian (dengan bertanya kepada rakan-rakan pakar) dan juga banyak membaca sendiri mengenai isu ini.

Umur berapa sesuai pakai skincare sebenarnya adalah seawal dan sesuai yang mungkin mengikut keperluan. Secara kasarnya, seawal umur 9 tahun bagi perempuan dan 12 tahun bagi lelaki. Ya kalau ada keperluan seawal umur bayi lagi dah perlu pakai skincare. Kalau bayi ada ruam dan sebagainya kan kita selalu letak bedak atau krim ruam tu, itu pun dianggap skincare la tu.

Tapi kak Nita macam mana dengan produk pencuci muka, moisturiser, sunscreen semua tu? Tak kan lah nak pakai seawal umur bayi? Untuk produk-produk macam ni ada masa mulanya yang tersendiri. Untuk ibu bapa yang nak tahu bila umur anak mereka patut pakai skincare boleh teruskan bacaan di bawah.

Bila umur yang sesuai untuk saya mula pakai pencuci muka?

Sebelum tu, kita kena ingat apa fungsi pencuci muka ni, ia adalah untuk mencuci kotoran di muka dan selalunya kotoran terbesar datang daripada lebihan sebum di muka.

Bila kita dah tahu fungsi pencuci muka ni kita akan faham bila umur yang sesuai untuk kita pakai pencuci muka. Untuk perempuan, umur yang dicadangkan untuk pakai pencuci muka adalah diantara umur 9 hingga 11 tahun. Bagi lelaki pula diantara umur 12-14 tahun.

Pada waktu inilah kulit muka kita akan mengeluarkan sebum dengan lebih aktif. Antara tanda-tanda yang kita boleh nampak adalah bila kulit kita kelihatan kusam dan kering, jerawat mula tumbuh secara aktif dan liang pori membesar dan tersumbat.

Jadi kak Nita, pencuci muka apa yang sesuai untuk bermula?

Untuk pencuci muka dan skincare lain asasnya masih sama, cari yang mana sesuai dengan jenis kulit muka. Jenis kulit muka ni secara kasarnya ada lima:

  • Kering
  • Berminyak
  • Kombinasi
  • Sensitif
  • Normal

Klik sini, kalau nak tahu lebih lanjut lagi anda ada kulit muka yang macam mana.

Kalau anda dah tahu kulit muka yang mana satu, berikut adalah antara produk pencuci muka yang kak Nita sarankan untuk anda cuba, kesesuaiannya adalah mengikut jenis kulit muka masing-masing.

  1. Garden of Eden Gentle Milk Cleanser – Sesuai buat mereka yang mempunyai kulit kering dan sensitif.
  2. Senka Perfect Whip – Sesuai buat mereka yang mempunyai kulit berminyak.
  3. Clean & Clear Foaming Facial Wash – Sesuai buat mereka yang mempunyai kulit kombinasi dan normal.

Bila umur yang sesuai untuk saya mula pakai sunscreen?

Bagi kak Nita penggunaan sunscreen ni sepatutnya digunakan seawal yang mungkin. Kebanyakan sunscreen ni boleh digunakan untuk bayi 6 bulan ke atas. Ye, bagi ibu bapa kalau nak ke kawasan yang banyak terdedah kepada cahaya matahari macam ke pantai tu, pastikan anak-anak anda mendapat perlindungan daripada sinar UV yang secukupnya.

Bagi mereka yang masih bersekolah dan aktif bersukan, memakai sunscreen 30 minit sebelum aktiviti adalah WAJIB. Lagi-lagi bagi mereka yang melakukan aktiviti panjang seperti berkawad dan juga ‘marching band’.

Kalau nak tahu lebih lanjut mengenai suncreen, kak Nita ada berceloteh mengenai sunscreen panjang lebar di sini.

Bila umur yang sesuai untuk saya mula pakai produk skincare yang lain?

Ok, sekarang kita faham yang pencuci muka dan juga sunscreen adalah penting untuk bermula seawal yang mungkin. Macam mana dengan jenis produk skincare yang lain kak Nita? Sejujurnya produk lain seperti moisturizer, serum, toner, mask dan sebagainya tidak diperlukan sangat sehingga jelitawan sekalian mencecah umur 25 tahun ke atas.

Eloklah bermula dengan tabiat memakai pencuci muka dahulu dan rajinkan diri untuk memakai sunscreen apabila keluar daripada rumah. Kuatkan dahulu disiplin dalam membina rutin asas. Skincare ataupun produk kecantikan muka ni macam memberus gigi, kena buat hari-hari dan kita akan mula nampak hasilnya.

Satu lagi pesanan daripada kak Nita, dalam memilih produk kecantikan ni, tak semua produk sesuai dengan kulit kita. Jadi bila mula membeli elok beli produk dalam kuantiti dan saiz yang kecil dahulu dan jangan lupa untuk buat patch test bagi mengetahui kesesuaian produk dengan kulit muka anda. Selamat beramal jelitawan.

Leave a Reply