“Buat patch test dulu sebelum guna.” Alah kulit muka aku bukan jenis kulit sensitif pun. Buat apa nak tunggu dulu sebelum cuba. Siapa yang tak excited bila dah tunggu berbulan-bulan lamanya, akhirnya produk yang kita beli (itu pun selepas berhari-hari baca reviu) sampai ke rumah. Kalau anda macam kak Nita, lepas unbox kotak semua; mesti terus rasa nak cuba pakai kat muka.
Itulah dia perangai kak Nita dulu, tak pernah pun rasa penting pun nak buat patch test ni.
Kenapa penting untuk buat patch test sebelum kita guna?
Sampailah satu hari, masa tu Kak Nita beli terus 4 jenis produk berbeza, ada moisturiser, satu serum, sheet mask dan juga ada cleanser baru yang kak Nita dapat recommendation daripada kawan.
Hari yang sama jugak kak Nita pakai terus kesemua produk tu.
Esoknya, muka kak Nita breakout teruk. Satu muka naik merah-merah dan kulit rasa macam terbakar dari dalam!
Masa kak Nita nak keluar rumah nak pergi jumpa dermatologist, kena matahari sikit kulit terus rasa pedih.
Lepas tu, barulah kak Nita tahu yang kulit kak Nita ni alergik kepada glycolic acid dalam kuantiti yang besar.
Dan kak Nita tetiba teringat pesanan kawan kak Nita lebih beribu kali pasal patch test ni.
2 bahagian patch test yang anda perlu tahu
Kak Nita mengaku yang patch test ni adalah aktiviti paling renyah dalam proses untuk membina rutin skincare. Patch test memerlukan masa dan dan disiplin diri yang tinggi.
Walaupun begitu, kos bila anda tak buat patch test lagi besar dan merenyahkan.
Ada dua bahagian patch test yang anda perlu tahu, setiap satu mempunyai tujuan yang berbeza.
Patch test untuk tengok reaksi alergi kulit
Bahagian ni adalah untuk melihat sama ada kulit anda alergik kepada mana-mana bahan yang ada dalam sesuatu produk.
Bagaimana nak tahu bahagian mana yang sesuai dan selesa untuk anda buat ujian? Prinsipnya, adalah untuk memilih bahagian kulit yang dekat dengan tempat yang kita akan gunakan produk tu.
Contoh, selalunya bagi skincare kita akan buat patch test di bahagian:
- tepi leher
- belakang telinga
Patch test untuk tengok breakout
Bahagian ni adalah untuk tengok kalau produk yang anda akan guna akan menyebabkan kulit kita breakout atau tidak. Ujian ni boleh dilakukan serentak bersama patch test untuk tengok reaksi alergi kulit (jikalau produk yang diuji adalah produk yang sama).
Untuk ujian ni, bahagian yang diuji adalah bahagian sebenar di mana produk itu akan dipakai. Selalunya, produk akan diuji di bahagian:
- pipi
- dagu
Untuk buat ujian ni pastikan anda uji satu produk baru sahaja dalam satu masa.
Kenapa tak boleh lebih daripada satu kak Nita?
Kalau lebih daripada satu, nanti bila breakout, susah la nak tahu mana satu penyebabnya.
4 langkah macam mana nak buat patch test
- Kenalpasti tempat di mana anda nak buat patch test tadi. Jikalau ada jerawat atau iritasi pada kawasan kulit anda, jangan pilih kawasan tersebut untuk lakukan ujian.
- Pastikan bahagian kulit ni tadi dibersihkan sebaiknya, pastikan kulit tak mempunyai lebihan minyak dan kotoran.
- Sapukan nipis produk (sebesar duit syiling 50 sen baru) yang anda nak uji tadi pada bahagian yang kita kenalpasti dalam langkah 1.
- Seeloknya, tunggu sehingga 72 jam (3 hari) dan perhatikan reaksi kulit anda dalam tempoh tersebut. Kalau tak sabar boleh cuba sekurangnya 24 jam (1 hari).
Apa yang perlu saya perhatikan bila dah buat patch test ni?
Baik, saya dah buat dah semua 4 langkah, apa yang patut saya perhatikan sekarang ya?
Ada 3 perkara yang anda kena tengok dalam tempoh 24-72 jam berlakunya ujian ni.
PERTAMA: Reaksi sementara
Ini adalah reaksi yang boleh dijangka daripada penggunaan produk. Selalunya ini adalah daripada produk yang mengandungi bahan aktif seperti vitamin C, BHA(beta hydroxy acid) dan juga AHA(alpha hydroxy acid).
Reaksi ni selalunya akan berlaku kepada mereka yang tak pernah menggunakan produk kecantikan yang mengandungi asid.
Jangan risau reaksi ni selalunya akan berlaku terus dan akan hilang selepas 30 minit sehingga sejam.
Kalau dalam masa 30 minit sehingga sejam tak hilang jugak? Terus hentikan penggunaan, sebab tu dah tak dikira sebagai reaksi sementara.
KEDUA: Reaksi alergi yang teruk
Yang ni senang untuk tahu, kalau bahagian kulit yang diuji tadi naik kemerah-merahan, gatal, pedih atau membengkak maknanya ada bahan dalam produk tersebut yang kulit anda alergik. Hentikan terus penggunaan dan basuh bahagian kulit anda daripada produk tersebut.
Boleh guna produk lembut (soothing) untuk merawat bahagian yang terjejas tadi, kalau kak Nita selalunya akan guna gel daripada lidah buaya yang segar dipotong.
KETIGA: Tanda-tanda breakout
Selepas 24 jam, perhatikan jika kulit muka anda mula untuk naik jerawat atau tidak. Selain daripada tu perhatikan juga untuk blackhead dan juga whitehead.
Jika ada salah satu atau kombinasi daripada faktor-faktor tersebut wujud, bermakna kulit anda menunjukkan reaksi breakout selepas menggunakan produk tersebut. Boleh hentikan penggunaan segera.
Peringatan kenapa penting buat patch test?
Kalau lepas 3 hari tak ada kesan apa-apa? Tahniah, anda dah jumpa produk yang sesuai untuk kulit anda!
Yay, sekarang anda dah boleh gunakan produk tersebut mengikut cara penggunaan yang disarankan dan masukkan dalam rutin harian anda.
Sebelum anda teruja dan recommendkan produk skincare tu kepada kawan ataupun Instagram anda, ada satu fakta penting yang anda perlu tahu:
Sesuai untuk anda, tak semestinya sesuai untuk orang lain.
Ada banyak faktor yang menentukan keserasian kulit muka dengan sesuatu produk skincare. Tak ada cara yang lebih mudah dan selamat daripada mencuba dalam skala kecil sebelum guna ke keseluruhan muka.
Sebab itulah penting untuk buat patch test ya.
Ingat ni, CUBA SEBELUM GUNA!