Soalan: Apa cara hilangkan jerawat paling cepat?
Jawapan: Tutup lampu.
Ok-ok sebelum Kak Nita kena lempang eloklah Kak Nita ceritakan dulu secara serius macam mana kita boleh dapat jerawat ni.
Jerawat ni tumbuh tak mengenal usia, tapi selalunya dia lebih banyak keluar masa kita remaja. Dia jugak lebih banyak muncul bila berlaku perubahan hormon dalam badan kita.
Sebab itulah wanita lebih senang dapat jerawat semasa mengandung dan jugak time period.
Ramai orang tanya betul ke kalau kita banyak makan makanan macam nasi lemak, pizza, pisang goreng bagai lagi senang untuk dapat jerawat?
Sebenarnya tak ada lagi kajian yang membuktikan secara jelas claim dekat atas tu. Tak bermakna jelitawan semua boleh start binge eating tau!
Yang lebih penting bila cakap pasal isu jerawat ni adalah cara kita menjaga kulit muka kita.
Macam mana jerawat boleh tumbuh?
Jerawat adalah liang pori tersumbat yang terkena jangkitan bakteria.
Kulit kita mempunyai jutaan liang pori. Liang pori terletak dengan folikel rambut (atau bulu halus) kita. Liang pori ini menghubungkan permukaan kulit kita dengan kelenjar sebum yang berada di bawah permukaan kulit.
Fungsi kelenjar sebum ini adalah seperti namanya — untuk mengeluarkan sebum. Sebum ni akan dikeluarkan sedikit demi sedikit tapi berterusan kepada folikel rambut dan seterusnya permukaan kulit.
Sel kulit mati juga boleh melekat bersama sebum dan terbuang sendiri bersama sebum bila kita basuh muka.
Dan kadangkala…
…kelenjar sebum kita terlebih rajin dan terlebih banyak sebum yang dikeluarkan. Overflow sebum ni kemudiannya akan memenuhi ruang liang pori. Bila sel kulit mati dan lebihan sebum ni bercampur boleh menyebabkan liang pori kita tersumbat…
Dan kadangkala…
…sel kulit mati dan lebihan sebum tadi tersumbat bersama bakteria. Bakteria ini boleh membiak-biak. Pembiakan bakteria ni kemudian membawa kepada infeksi, bengkak dan keradangan di sekitar kawasan liang pori yang tersumbat tadi.
Dan jadilah apa yang kita panggil jerawat.
Jadi, apa cara hilangkan jerawat yang betul?
Pertama, Kak Nita pesan — JANGAN PICIT jerawat anda.
Sebabnya, bila anda picit lagi banyak bakteria, kotoran dan minyak yang akan masuk ke liang pori dan menyebabkan jerawat anda semakin teruk.
Jadi, apa cara terbaik Kak Nita?
Cara terbaik untuk mengilangkan jerawat adalah dengan menggunakan teknik penjagaan kulit yang baik.
Basuh muka anda dua kali sehari menggunakan pencuci muka yang lembut — seeloknya pencuci muka yang diformulasikan dengan bahan semulajadi. Bila mencuci muka jangan gunakan berus atau kain, gunakan saja jari anda tu.
Nak cepat lagi boleh gunakan ubat atau krim jerawat yang betul.
Seeloknya pastikan ada dua bahan penting ni:
- Benzoyl peroxide
- Salicylic acid
Sapukan pada bahagian kulit muka yang berjerawat tadi secara nipis.
Petua menghilangkan jerawat cara orang lama
Cara hilangkan jerawat dengan Lidah buaya (Aloe Vera)
Orang kita kat Malaysia ni untung sebenarnya sebab lidah buaya ada banyak di Malaysia. Gel daripada lidah buaya ni selalunya ditambah ke dalam losyen, krim dan sabun.
Bila disapukan kepada kulit, gel aloe vera ni membantu mempercepatkan penyembuhan kulit dan menghalang keradangan. Gel aloe vera ni mengandungi salicylic acid dan juga sulfur yang terbukti berkesan dalam merawat jerawat.
Bahan-bahan yang anda perlukan:
- Lidah buaya – 3 batang
Cara penyediaan:
- Kikis keluar gel daripada lidah buaya.
- Sapukan rata pada wajah anda seperti penggunaan moisturiser.
- Ulang 1-2 kali sehari.
Cara hilangkan jerawat dengan teh hijau
Teh hijau mempunyai kandungan antioksidan yang tinggi. Tabiat minum teh hijau ni banyak dipraktiskan di kalangan wanita Asia dan umumnya bagus untuk kesihatan.
Ini adalah kerana teh hijau mengandungi flavonoid dan tannin yang mana membantu membasmi bakteria dan mengurangkan keradangan kulit.
Antioksidan utama dalam teh hijau — EGCG — terbukti dapat merendahkan kadar pengeluaran sebum, mengurangkan keradangan dan membunuh P. Acnes (bakteria penyebab jerawat).
Bahan-bahan yang anda perlukan:
- Teh hijau -3 uncang
- Bola kapas – 3-5 biji
Cara penyediaan:
- Reneh teh hijau dalam air yang mendidih.
- Sejukkan dahulu teh hijau tadi.
- Celup bebola kapas dalam teh hijau dan sapukan pada bahagian muka yang berjerawat.
- Biarkan selama 10 minit.
- Bilas muka anda, dan keringkan muka dengan tuala bersih.
Cara hilangkan jerawat dengan madu dan kayu manis
Kedua-dua madu dan kayu manis adalah sumber yang kaya dengan antioksidan. Ada kajian yang membuktikan meletakkan sumber antioksidan lebih efektif dalam merawat jerawat berbanding penggunaan benzoyl peroxide dan retinoid (2 bahan yang popular dalam merawat jerawat).
Madu dan kayu manis mempunyai sifat anti-bakteria dan boleh mengurangkan keradangan pada kulit sekaligus menyelesaikan dua punca masalah jerawat.
Bahan-bahan yang anda perlukan:
- Madu – 2 sudu teh
- Serbuk kulit kayu manis – 1 sudu teh
Cara penyediaan:
- Campurkan madu dan serbuk kulit kayu manis sehingga sebati.
- Basuh dahulu muka dengan air bersih dan keringkan.
- Sapu dan ratakan campuran tadi ke seluruh muka, biarkan selama 15 minit.
- Bilas muka anda, dan keringkan muka dengan tuala bersih.
Kesimpulan: Cara Hilangkan Jerawat
Walaupun makan makanan berminyak adalah tidak disarankan dan tidak menyihatkan, pemakanan bukanlah sebab utama untuk jerawat tumbuh di muka anda.
Dan kalau jerawat mula tumbuh di muka anda, ingat pesan Kak Nita — jangan nak gatal jari picit atau garu tempat jerawat tadi tu. Ia hanya akan menyebabkan situasi jerawat anda menjadi semakin teruk.
Seeloknya gunakan produk yang diformulasikan dengan bahan berasaskan semulajadi yang lebih selamat untuk kulit muka anda. Jangan pakai produk yang bukan-bukan tau!