Boleh ke lelaki pakai produk skincare perempuan?

Ringkasnya, tak ada masalah pun untuk seorang lelaki memakai produk kecantikan ataupun skincare untuk perempuan. Selalunya kandungan bahan aktif dia sama ja. Yang lain dalam kebanyakan kes adalah harumannya sahaja. 

Kalau kau jenis suka bau bunga-bunga manis ni (ya aku suka), bagi aku tak ada masalah, go on dan pakai. Yang lebih penting sebenarnya adalah produk yang sesuai dengan kulit kau. 

Aku selalu ditanya jejaka-jejaka lain di luar sana, 

“Eh Fikri aku ada masalah jerawat ni, boleh ke aku pakai X? Macam produk untuk perempuan je.”

Tak ada sedikit pun kejantanan kau akan luntur bila kau pakai produk kecantikan ni, jangan takut sangat. Penjagaan muka ni aku kira macam jaga kereta juga, kau tak perlu takut orang kutuk pengemas bila kau cuci dan wax kereta kau tu. 

Jadi, memang tak ada beza langsung ke kulit lelaki dan perempuan?

Ada.

Bagi kulit lelaki ni selalunya dia akan mempunyai lebih banyak sebaceous gland yang menyebabkan kulit lelaki lebih mudah berminyak. 

Bagi lelaki yang selalu bercukur, proses mencukup tu secara tak langsung exfoliate kulit. Menjadikan kulit lebih kering daripada biasa. 

Yang mana semuanya akan kembali balik kepada jenis kulit mana yang kita ada. Dan bukannya jantina. 

Habis tu yang kat luar sana tu kenapa dibezakan skincare untuk lelaki dan perempuan?

Selalu kita nampak di farmasi yang mana kalau produk kecantikan untuk perempuan akan diletakkan dalam packaging warna merah jambu atau lebih pastel warnanya, manakala kalau produk untuk lelaki pula akan diletakkan dalam warna yang lebih maskulin seperti hitam, kelabu dan warna kelakian lain.

Kalau daripada haruman pula, produk kecantikan untuk perempuan lebih sinonim kepada bunga, herba dan segala jenis botanikal parfum yang lain. Bagi lelaki semestinya akan dikaitkan dengan haruman mint, kayuan dan rempah.

Itu semua datang daripada hasil kajian pasaran. Bahan aktif mereka hampir sama.

Perbezaan yang kita lihat sekarang ni adalah kesan daripada proses pemasaran. Ketahuilah, jenama skincare yang lebih bijak (dan banyak dah berubah) sudah mula memasarkan produk yang lebih mesra kepada dua-dua jantina.

Pemasaran sekarang pula sudah dilebihkan kepada mengikut jenis kulit muka daripada genitalia apa yang kau ada.

Saya lelaki dan saya bersedia untuk pakai skincare, apa rutin skincare untuk lelaki yang boleh saya cuba?

Orait, sebenarnya rutin skincare untuk lelaki ni tak ada beza pun dengan rutin skincare untuk perempuan. Aku rasa kak Nita ada cover banyak pasal topik ni.

Tapi aku nak juga kongsikan rutin skincare aku sewaktu aku bermula dulu yang mana sangat ringkas dan membebankan poket. Untuk pengetahuan, aku ni mempunyai jenis kulit kering dan masalah jerawat yang minimal(mengikut musim).

Tiga langkah rutin skincare ringkas untuk lelaki malas tapi masih sayangkan kulit muka

Orait, dalam rutin ni, aku hanya ada 3 produk skincare sahaja, oleh sebab nak tunjuk yang aku tak menjual produk aku rahsiakan jenama mereka. Kau pilihlah produk berkaitan yang sesuai dengan jenis kulit muka kau.

3 produk tu adalah seperti berikut:

  • Cleanser atau pencuci muka.
  • Serum vitamin C.
  • Moisturiser atau pelembap muka yang mempunyai SPF.

1. Rutin skincare lelaki di waktu pagi

Pada waktu pagi, aku hanya bilas muka dengan air bersih sahaja. Ya, aku tak guna pun pencuci muka pada waktu pagi.

Oleh sebab aku ni mempunyai jenis kulit muka yang kering, kalau aku cuci dengan cleanser dia akan rasa ketat dan mengganggu lapisan minyak semulajadi yang dah cun pada waktu pagi tu.

Kalau jenis kulit muka kau berminyak jangan ikut aku, sila pakai cleanser juga di waktu pagi.

Lepas tu kalau aku bercukur, aku akan pakai serum yang mengandungi antioksidan yang tinggi, dalam kes aku, aku pakai serum yang mengandungi vitamin C. Kalau hari tu aku tak bercukur maka aku akan skip part serum tu.

Sebelum aku keluar rumah, aku akan pastikan aku pakai moisturiser dulu. Aku pakai moisturiser yang ada SPF sebab aku malas nak pakai sunscreen asing. Senang sekali gerak je ada dua fungsi.

Siap dan setel rutin skincare yang tak sampai 5 minit pun.

2. Rutin skincare lelaki di antara pagi dan malam

Tak banyak, aku akan tengok bila masa kulit rasa kering, ataupun aku nak jalan keluar nak pergi makan tengahari barulah aku akan topup balik moisturiser tu tadi.

Itu sahaja.

3. Rutin skincare lelaki di waktu malam

Pada waktu malamlah di mana aku akan cuci muka menggunakan cleanser tu tadi. Sebabnya, bila kau ada SPF di muka memang kau akan perlukan pencuci muka tak boleh bilas dengan air je tau.

Satu lagi waktu siang muka kau tu dah mengumpulkan habuk dan kotoran, memang eloklah kau cuci muka dengan betul.

Siap,

itulah dia rutin skincare ringkas untuk lelaki. Ada soalan? Komen je kat bawah, selalunya aku rajin untuk balas.

Lelaki dan wanita kat luar sana yang ada rutin skincare sendiri, komen juga di bawah rutin skincare anda. (Baca: Aku nak tiru.)

p.s. Jangan lupa letak jenis kulit.

Leave a Reply